Friday, 23 November 2012

Kenapa Palestin?

Jenayah kejam rejim Yahudi Zionis di Palestin dan di kawasan-kawasan sekitarnya bukanlah sesuatu yang baru di dalam sejarah peradaban dunia moden. Beberapa dekad pasca Deklarasi Balfour 1917 menyaksikan penghijrahan Yahudi Eropah dan Rusia secara pukal ke bumi istimewa ini yang kemudiannya diikuti oleh penjajahan yang sistematik sehingga hilanglah nama Palestin dari peta dunia moden. Peliknya, dunia antarabangsa terus menjadi saksi bisu terhadap rentetan kekejaman bangsa yang sungguh biadap lagi sombong ini.

Tragedi Deir Yassin, Nakbah 1948, Naksah 1967, Sabra Shatila 1982, Khalil, Jenin, Gaza dan ratusan lagi siri keganasan rejim Zionis Israel ini bukanlah satu yang rahsia lagi. Masyarakat antarabangsa dan umat Islam hanya mampu menonton, mengutuk atau sekadar bersimpati dengan nasib malang rakyat Palestin. Selagi kuasa besar dunia menjadi boneka yang bersekongkol dengan Pertubuhan Zionis Sedunia, maka selagi itulah siri jenayah ini akan terus bermaharajalela.

Namun begitu masih ramai di kalangan umat Islam di seluruh dunia samada di negara-negara Arab atau di negara-negara Islam lainnya termasuk negara kita sendiri masih begitu naif terhadap permasalahan Palestin yang merupakan isu terbesar umat di abad ini.

Kenapa kita harus turut sibuk dengan isu Palestin?

Isu Palestin adalah isu umat Islam sejagat. Kenapa tidak, di situlah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Masjid ini adalah masjid yang ke dua dibangunkan di muka bumi selepas Masjidil Haram dan merupakan masjid yang ke tiga suci di sisi Allah swt. Di bumi inilah telah dihantarnya para nabi secara berkesinambungan termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lainnya untuk mengajak manusia agar beriman kepada Allah, Tuhan yang Esa.




Bumi ini telah dijajah silih berganti oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi sehinggalah ianya dibuka kembali oleh Umar al Khattab yang telah mengistiharkan bahawa bumi ini adalah tanah wakaf milik umat Islam sehingga ke akhir zaman. Selepas itu, Palestin terus dinaungi keamanan dan keadilan di bawah pemerintahan Islam untuk ribuan tahun kecuali di abad ke 12 Masihi apabila bumi ini dinodai dengan kekejaman tentera salib. Namun Palestin telah dibebaskan semula oleh Solahuddin al Ayyubi yang berketurunan Kurdi. Tidakkah semua ini menjadi bukti yang kuat bahawa isu Palestin bukan sekadar isu orang Palestin sahaja, bukan isu orang-orang Arab sahaja bahkan isu Palestin adalah isu kita, isu umat Islam sejagat?

 Benarkah dakwaan Yahudi bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin?
Dakwaan ini sebenarnya adalah fakta sejarah yang telah dipalsukan Yahudi. Rakyat Palestin hari ini adalah keturunan kaum Kan’an yang telah mengasaskan Palestin sejak 4500 tahun dulunya. Ketika Bani Israel mendatangi Palestin, telahpun wujud lebih 200 penempatan di bumi Palestin yang menunjukkan bahawa bukanlah mereka pengasas bumi istimewa ini.

Tidak kita nafikan bahawa Bani Israel pernah memerintah Palestin selama kira-kira 4 abad di sekitar zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman tetapi kerajaan mereka turut hancur sebagaimana yang telah berlaku kepada kerajaan Firaun, Greek dan Roman disebabkan kefasadan tangan dan kaki mereka sendiri sehingga mereka semua disingkirkan dari bumi rebutan ini.

Mana-mana bangsa dan tamadun yang celik tentang sejarah peradaban mengakui bahawa Islam adalah pemerintah Palestin yang paling lama dan paling adil sehinggalah berlakunya penjajahan Palestin oleh bangsa Yahudi Zionis yang sombong lagi kejam sejak awal abad ke 20 Masihi.

No comments:

Post a Comment